KALAM PENGARAH

Alhamdulillah, tahun ini umur InsPeK genap 10 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 2014. Kemudian pada tahun 2017, InsPeK telah distrukturkan kembali agar lebih berarus perdana dari aspek fokus, kebersamaan dengan komuniti miskin serta pemegang taruh dari pelbagai latar belakang dan akhirnya dapat memberi impak yang lestari.

Bersempena 10 tahun penubuhan InsPeK, slogan yang digunakan InsPeK ialah "10 tahun InsPeK Merekayasa Kemiskinan".

Mengimbau kembali laluan dan bekas tangan InsPeK sejak 2014, kini lebih daripada 80 buah projek penyelidikan dan pembinaan kapasiti telah InsPeK laksanakan dalam pelbagai isu, disiplin, dan fokus.

Antara penyelidikan yang berimpak InsPeK ialah "Pemetaan Kemiskinan 360 Darjah" yang mana kini digunakan secara meluas di seluruh Malaysia melalui Kementerian Ekonomi. Pemetaan Kemiskinan 360 Darjah telah melibatkan lebih daripada 8,000 ketua isi rumah miskin (KIR). Ada juga penyelidikan lain InsPeK yang turut memberi impak yang besar. Uniknya penyelidikan InsPeK ialah penumpuannya adalah kepada penyelidikan yang "boleh guna" datanya, atau pada perkataan lain, InsPeK menumpukan kepada penyelidikan gunaan (applied atau translational research).

Ini belum termasuk berpuluh program pembinaan kapasiti atau pemindahan ilmu yang bertujuan untuk memperkasakan komuniti miskin agar tidak lagi bergantung dan memperoleh pendapatan untuk keluar dari ombak ganas kemiskinan.

Program pembinaan kapasiti InsPeK dilaksanakan dengan ekosistem yang dibina sendiri oleh InsPeK. Termasuklah berasaskan kerangka perusahaan sosial yang melibatkan kerjasama dari pemegang taruh, iaitu dari UMK sendiri, rakan akademik dari Institut Pengajian Tinggi lain, komuniti miskin, agensi kerajaan (Persekutuan dan Negeri), industri atau swasta dan pihak badan bukan kerajaan (NGO). Ekosistem ini jelas sekali memberi kesan yang berimpak lestari kepada komuniti miskin dalam merekayasa kehidupan mereka untuk keluar dari kemiskinan.

InsPeK turut terlibat dalam membina pelan strategik dan polisi di pelbagai peringkat. Sama ada di peringkat komuniti, kerajaan tempatan, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan di peringkat global. Misalnya, InsPeK pernah memperkenalkan kerangka "Lembah Barakah" dan "KEGA Valley". Kini Lembah Barakah diperkuatkan lagi dengan idea yang lebih baik dari aspek menyediakan "pakar bidang" dan penglibatan industri dengan lebih serius.

Semua rancangan dan usaha InsPeK dibuat, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk bersama menguruskan kemiskinan dengan berimpak lestari, membawa komuniti miskin keluar dari rantaian kemiskinan, menikmati kesejahteraan hidup dan kembali memberi sumbangan kepada orang lain.

Akhir kalimah, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi UMK kerana sentiasa memberi peluang kepada InsPeK dan juga terima kasih kepada rakan dalam UMK. Setinggi penghargaan kepada pasukan InsPeK yang sentiasa bersiap siaga untuk bersama dalam misi mulia InsPeK. Tanpa mereka, InsPeK tidak akan mampu terbang tinggi.

Ribuan terima kasih kepada kepada pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, rakan industri, badan bukan kerajaan (NGO) serta persendirian dan komuniti miskin sendiri yang terlalu banyak memberi peluang dan berhayunan tangan serta derapan kaki yang sama dalam bersama menguruskan kemiskinan berimpak lestari.

Semoga ALLAH merahmati usaha mulia ini dan semoga ada manfaatnya.

Profesor Dr. Wan Ahmad Amir Zal bin Wan Ismail
Pengarah, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK),
Universiti Malaysia Kelantan

Januari 2024

Image