GERAKAN KOMUNITI BANTU PERCEPAT IMUNITI KELOMPOK

GERAKAN KOMUNITI BANTU PERCEPAT IMUNITI KELOMPOK

Berita Harian: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/06/824452/gerakan-komuniti-bantu-percepat-imuniti-kelompok

05 Jun 2021

Imuniti kelompok adalah keadaan di mana agen jangkitan tidak dapat memasuki atau tersebar dalam kelompok disebabkan sebahagian besar anggota masyarakat mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan.

Sudah pasti berkaitan pandemik COVID-19, cara terbaik mencapai imuniti kelompok adalah melalui kesedaran dan pelaksanaan vaksinasi.

Memandangkan tiada pergerakan bebas dibenarkan sepanjang sekatan pergerakan penuh ini, usaha merealisasikan imuniti kelompok mungkin lebih mudah dilaksanakan. Bagaimana caranya?

Kita pernah didedahkan bahawa peratus rakyat tidak hadir janji temu pemberian vaksin adalah tinggi. Mereka termasuk warga emas dan kelompok tercicir lain.

Kita boleh membuat andaian mereka mungkin berhadapan masalah pengetahuan tentang kepentingan vaksinasi, cakna keperluan pendaftaran, kemas kini tarikh janji temu serta mempunyai masalah berkaitan pengangkutan.

Apa pun sebabnya, ruang sekatan pergerakan penuh membolehkan kerajaan mencapai imuniti kelompok dengan memanfaatkan gerakan komuniti. Inilah masanya penggerak komuniti boleh lebih membantu.

Mereka terdiri pemimpin atau ahli organisasi seperti penggawa, penghulu, pengerusi dan ahli pelbagai peringkat organisasi dalam komuniti. Pemimpin agama dan badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh dimasukkan sekali.

Rasionalnya, mereka bukan hanya kenal ahli komuniti masing-masing, malah hubungan akrab sedia ada membolehkan usaha penyampaian maklumat berkaitan vaksinisasi berlaku lebih berkesan dan tidak terjebak dakyah yang prejudis.

Penggerak komuniti dianggap bersedia memikul tugas ini kerana lazimnya mereka mempunyai senarai ahli komuniti masing-masing.

Jika tiada sekalipun, inilah masanya mempraktikkan konsep 'data terbuka', iaitu mereka dibenar menggunakan dan menilai kembali maklumat daripada pangkalan data sedia ada seperti e-kasih dan sebagainya.

Namun, jika konsep data terbuka belum sesuai dilaksanakan, inilah masanya memperkasakan penggerak komuniti dengan ilmu pemetaan komuniti.

Mereka mungkin boleh dipertimbangkan untuk dibenar bergerak dalam komuniti masing-masing sepanjang tempoh ini dengan koordinasi serta prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Jika ada ahli komuniti mempunyai masalah berkaitan pengangkutan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), inilah masanya semua pihak berganding bahu membawa ahli komuniti ke situ.

Misalnya, agensi kerajaan berkaitan, penggerak pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, boleh menyediakan pengangkutan untuk tujuan vaksinasi.

Begitu juga penyertaan pihak industri, mereka boleh menjadi pemangkin usaha penggerak komuniti. Misalnya perkhidmatan teksi, e-hailing dan pengangkutan awam lain.

Mereka boleh menyediakan perkhidmatan sama ada secara percuma, bayaran minimum atau dengan bantuan subsidi.

Syukur, perkara ini sudah dilakukan beberapa pihak dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu, namun perlu diperluaskan lagi.

Inilah masanya pihak industri menunjukkan sokongan penuh kepada usaha kerajaan untuk merealisasikan imuniti kelompok dengan pelbagai pendekatan atau konsep.

Mungkin boleh mengguna pakai konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) kebersamaan bersasar untuk menggalakkan penyertaan rakyat dalam program imunisasi vaksin COVID-19. Sudah pasti, manfaatnya juga akan kembali kepada semua.

Justeru, sempena dengan namanya sebagai imuniti kelompok, wajarlah ia diterjemahkan dengan penyertaan komuniti melalui gerakan komuniti.

Usaha begini sudah pasti memberi tafsiran tepat kepada slogan 'kita jaga kita' iaitu kesedaran dan tindakan bijaksana bersama dalam komuniti untuk mewujudkan imuniti kelompok.

Penulis adalah Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

 

000
Read 203 times
Rate this item
(0 votes)