KAWAL WANG DENGAN BAIK

KAWAL WANG DENGAN BAIK

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/PnP/2021/06/716390/kawal-wang-dengan-baik

11 Jun 2021

PELAKSANAAN Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +) susulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) wajar dimanfaatkan golongan yang terjejas.

Inisiatif ini dapat mengurangkan beban akibat penutupan beberapa sektor semasa SPP yang bermula 1 Jun lalu.

Bagi golongan B40, individu hilang pekerjaan, Perusahaan Kecil dan Sederhana atau perusahaan mikro yang tidak dibenarkan beroperasi boleh memilih sama ada menerima moratorium selama tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Manakala bagi individu M40 dan T20 yang mengalami pengurangan pendapatan termasuk gaji, elaun, komisen dan pendapatan isi rumah boleh mendapatkan pengurangan ansuran bulanan selaras dengan pendapatan yang berkurang.

 

Ketua Bahagian Jaringan dan Big Data Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan(InsPeK), Profesor Madya Dr Azwan Abdullah berkata, masyarakat seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang disediakan kerajaan sepanjang SPP ini dilaksanakan.

Katanya, menerusi moratorium dan pengurangan ansuran bulanan ini termasuk membabitkan pembiayaan rumah boleh digunakan untuk menampung keperluan lain.

"Isi rumah yang terkesan berdepan potongan gaji atau terkesan kerana bergantung gaji harian, boleh manfaat bantuan ini untuk mengisi kantung kewangan aspek keperluan lain.

"Sebagai contoh, duit yang sepatutnya digunakan untuk membayar ansuran rumah, boleh digunakan untuk langganan internet bagi kegunaan bekerja dari rumah dan sesi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

"Selain itu, wang itu boleh dimanfaatkan untuk makanan dan keperluan tempat tinggal ," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpendapat, ini adalah masa sesuai untuk membeli kediaman dengan syarat individu itu mempunyai simpanan mencukupi dan berpendapatan berterusan.

"Inisiatif kerajaan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah sehingga 31 Disember ini yang banyak memberi manfaat kepada pembeli.

"Selain itu, kadar faedah yang ditawarkan bank juga sangat rendah iaitu 2.9 peratus berbanding 4 hingga 4.5 peratus sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak mempunyai tabungan mencukupi dan berpendapatan tidak stabil, dinasihatkan tidak membeli kediaman.

"Pembelian ini dibimbangi akan menjadi liabiliti atau tanggungan hutang tidak dapat dijelaskan berikutan keadaan ekonomi yang agak suram.

"Saya cadangkan mereka yang mendapat insentif menerusi Bantuan Prihatin Rakyat, melabur untuk kesihatan termasuk membeli polisi takaful atau insuran untuk menambah perlindungan diri dan keluarga. Kesihatan adalah aset untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau menasihatkan semua pihak di negara ini bermula dari isi rumah sehingga urusan negara melaksanakan pengurusan kewangan berhemah.

 

 

000
Read 25 times Last modified on Tuesday, 15 June 2021 22:51
Rate this item
(0 votes)