Style Switcher

Layout options
  • Boxed Layout
  • Full Width Layout
Primary Color
Official Portal of Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK)

Logo KPT Font Hitamlogoumkmenegakfinal 01 5logosdg             

KETUA ISI RUMAH PERLU BIJAK RANCANG KEWANGAN

14 April 2020

BERITA HARIAN: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/04/676793/ketua-isi-rumah-perlu-bijak-rancang-kewangan

LANJUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April depan, sudah pasti memberi impak besar kepada isi rumah dalam merancang dan mengurus kewangan dengan baik.

Dalam hal ini ketua isi rumah perlu memainkan peranan bijak menentukan perbelanjaan berhemah dan sistematik sepanjang tempoh PKP.

Perancangan kewangan isi rumah perlu diurus lebih berobjektif. Perkara utama perlu difahami ketua isi rumah ialah apa yang perlu dibelanjakan. Ringkasnya berupaya membezakan antara kehendak dan keperluan.

Kehendak adalah suatu perasaan dalaman yang ada pada diri setiap individu yang berkeinginan menikmati kehidupan lebih selesa. Contohnya Ali mempunyai kehendak membeli sebuah motosikal baharu, padahal motosikal sedia ada masih elok untuk digunakan dan tanpa motosikal baharu, dia masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.

Keperluan pula suatu perkara yang perlu dipenuhi bagi meneruskan kehidupan. Contohnya, makanan. Tanpa makanan mencukupi kita mungkin akan sakit, tidak berupaya bekerja dan mungkin tidak mampu meneruskan kehidupan apatah lagi untuk menyara seisi keluarga.

Berdasarkan definisi mudah dihuraikan ini, ketua isi rumah seharusnya perlu melaksanakan perancangan kewangan rapi sebelum melangkah ke pasar raya atau kedai serbaneka untuk melakukan perbelanjaan.

Amalan perbelanjaan baik harus dilaksanakan bagi memastikan sumber kewangan dibelanjakan tidak membazir begitu sahaja.

Teori ekonomi ada menyatakan kehendak manusia tiada batasnya. Namun kemampuan kewangan manusia terbatas. Oleh itu, perancangan kewangan isi rumah yang baik perlu selari sumber pendapatan yang ada.

Perbelanjaan dilaksanakan melebihi sumber kemampuan pendapatan menyebabkan ekonomi isi rumah defisit atau mengalami ketidakcukupan kewangan.

Ini boleh diatasi dengan melaksanakan muhasabah kewangan sebelum sesuatu perbelanjaan dilaksanakan, agar pembelian lebih berobjektif.

Dalam menghadapi COVID-19, gelagat pembelian dan perbelanjaan dalam kalangan isi rumah tidak berlangsung seperti biasa, tambahan pula dengan adanya PKP.

Pembelian panik contohnya tercetus akibat kurangnya perancangan kewangan berobjektif dalam transaksi pembelian. Ini boleh mengakibatkan keadaan harga barangan dalam pasaran sukar diramal pengguna.

Justeru, perancangan kewangan yang baik melalui kaedah muhasabah kewangan dapat membantu isi rumah melaksanakan perbelanjaan dengan berhemah dan tiada unsur panik dalam pembelian.

Bagi tujuan itu, beberapa perkara perlu dititikberatkan sebelum sesuatu perbelanjaan dilaksanakan, antaranya mengambil langkah seperti berikut:

Pertama, menentukan matlamat pembelian dan perbelanjaan bagi mengelak ketirisan sumber peruntukan kewangan. Matlamat pembelian boleh bersifat kegunaan jangka panjang atau pendek.

Kedua, menyenaraikan barangan dan keperluan ingin dibeli mengikut keutamaan dan kepentingan serta kegunaan.

Ketiga, menyediakan bajet kewangan ke atas semua barangan yang disenarai untuk dibeli. Pada peringkat ini, elemen kehendak perlu diketepikan.

Keempat, membuat saringan barang disenaraikan dengan meneliti kemampuan dan kecukupan sumber kewangan yang ada. Mungkin ada beberapa perkara perlu dinyah keluar daripada senarai bagi memberi laluan kepada yang lebih berkepentingan dan diperlukan.

Kelima, semasa pembelian isi rumah perlu patuh kepada senarai barangan dibuat serta perlu tegas dengan peruntukan kewangan ditetapkan.

Akhir sekali, selepas semua perbelanjaan dirancang itu direalisasikan, kaedah jejak perbelanjaan perlu dilakukan untuk menilai semula keberkesanan perbelanjaan dibuat.

Kesimpulannya, perancangan kewangan isi rumah penting dalam apa keadaan sekalipun, lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana bencana seperti penularan wabak COVID-19.

Amalan perancangan kewangan yang baik dalam kalangan isi rumah diharap mampu menstabilkan ekonomi keluarga, mengekalkan harmonisasi dalam pasaran dan yang paling penting dapat mengelakkan isi rumah dari berhadapan dengan masalah defisit kewangan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Perbankan & Kewangan Islam) Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan

Read 327 times Last modified on Saturday, 09 May 2020 14:06

Hubungi Kami

INSTITUT PENYELIDIKAN DAN PENGURUSAN KEMISKINAN (InsPeK)

Universiti Malaysia Kelantan (UMK),
16300 Bachok, Kelantan Malaysia

Nombor telefon  : 09-7797524/ 09-7797526
Email                   : inspek@umk.edu.my
Website              : inspek.umk.edu.my
Facebook            : https://www.facebook.com/inspek.umk

Kemaskini Terakhir: 01 Disember 2020

Jumlah Pelawat

Today113
Yesterday150
This week873
This month761
Total58168

Who Is Online

1
Online

2020-12-05