Style Switcher

Layout options
  • Boxed Layout
  • Full Width Layout
Primary Color
Official Portal of Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK)

Logo KPT Font Hitamlogoumkmenegakfinal 01 5logosdg             

MANFAAT PAKEJ PRIHATIN SEJAHTERAKAN EKONOMI RAKYAT

8 MEI 2020

BERITA HARIAN: https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/05/686467/manfaat-pakej-prihatin-sejahterakan-ekonomi-rakyat

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi kesan yang baik kepada kehidupan rakyat jelata.

Menerusi Pakej PRIHATIN rakyat berupaya menghela nafas lega dengan pelaksanaan moratorium kewangan serta Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diperkenalkan, bagi meringankan beban ekonomi rakyat akibat wabak COVID-19.

 

Pakej PRIHATIN berjumlah RM250 bilion memberi manfaat kepada semua pihak. Daripada jumlah itu, sebanyak RM128 bilion atau 51.2 peratus disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.

Dalam hal ini, manfaat yang diperoleh perlu digunakan dengan sebaik mungkin bagi melaksanakan modifikasi ekonomi keluarga dan kewangan peribadi. Pakej PRIHATIN ini wadah bantuan daripada sebuah kerajaan berkebajikan kepada rakyat yang memerlukan.

Oleh itu, tepuk dada tanya minda. Apakah yang perlu dilakukan ke atas manfaat Pakej PRIHATIN yang diberikan kerajaan. Dalam hal ini, kebijaksanaan merancang kewangan, mengguna dan menyelaras sumber kewangan menjadi ujian genting yang perlu diselesaikan oleh penerima manfaat.

Modifikasi perbelanjaan isi rumah perlu distruktur semula dengan baik agar seimbang dengan jumlah pendapatan yang diterima. Hal ini penting bagi mengharungi iklim ekonomi yang suram akibat wabak COVID-19 yang melanda negara kini dan seantero dunia.

Perkara utama yang perlu diselesaikan oleh isi rumah ialah melakukan penyelesaian hutang. Sebagai contoh, isi rumah yang mempunyai hutang kad kredit boleh melangsaikan hutang berkenaan menerusi penyesuaian peruntukan berdasarkan moratorium kewangan yang diberikan kerajaan ke atas pinjaman kenderaan dan pinjaman peribadi yang sedia ada.

Bagi mengukuhkan sumber ekonomi keluarga, isi rumah boleh memanfaatkan moratorium kewangan yang diberikan kerajaan demi memakmurkan ekonomi keluarga menerusi tabungan dan pelaburan.

Tabungan dan pelaburan adalah alat ekonomi yang penting dalam menstabilkan dan mendaya upaya ekonomi keluarga.

Tabungan boleh dilakukan di institusi kewangan sedia ada bagi tujuan simpanan masa hadapan atau sebagai dana awasan ketika memerlukan.

Di samping itu, isi rumah boleh melakukan pelaburan bagi mengembangkan sumber kewangan yang ada di institusi pelaburan diiktiraf kerajaan.

Kebijaksanaan isi rumah dalam menguruskan Pakej PRIHATIN berupaya memangkin kegiatan ekonomi dengan lebih progresif.

Penggunaan kewangan isi rumah yang cekap akan mempengaruhi penawaran dan permintaan barangan di pasaran serta memberi kesan keseimbangan ekonomi sama ada bersifat defisit atau inflasi.

Kini Ramadan menjelma lagi. Bulan ini digambarkan sebagai 1,000 rahmat bagi seluruh umat Islam dan seisi alam. Dalam keadaan ekonomi sebegini dan sumber kewangan yang agak terhad, sudah tentu isi rumah sedang meneliti perbelanjaan yang harus dibuat bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Umat Islam di Malaysia sudah tentu berbesar hati dan bersyukur dapat menyambut Ramadan dalam suasana yang sederhana dan hemat kewangan.

Dalam hal ini, Pakej PRIHATIN wujud dalam keadaan yang signifikan ketika rakyat memerlukan insentif kewangan bagi meneruskan kehidupan terutama ketika berdepan wabak COVID-19.

Ramadan kali ini hadir dengan dakwah dan hikmah supaya rakyat berjimat cermat dalam berbelanja.

Arahan kerajaan melarang operasi bazar Ramadan pada kali ini memberi implikasi yang pelbagai kepada isi rumah dan ekonomi amnya.

Natijah larangan itu pada bulan yang mulia ini harus dilihat dalam dua perspektif.

Pertama dari perspektif isi rumah. Isi rumah dapat menjimatkan perbelanjaan dengan menyediakan sendiri juadah untuk berbuka puasa dan bersahur. Peruntukan kewangan yang diberikan kerajaan boleh dimanfaatkan secara berhemat dalam menyediakan makanan dan barang keperluan keluarga.

Secara langsung, perbelanjaan lebih cermat, ukhuwah bertambah erat dan rezeki mengundang berkat.

Yang kedua pula, dari perspektif peniaga. Larangan kerajaan agar operasi jualan di bazar Ramadan tidak dilaksanakan seperti kelaziman, turut memberi impak yang bukan sedikit kepada sumber pendapatan peniaga.

Namun begitu, hikmah di sebalik larangan ini perlu dilihat daripada perspektif positif. Peniaga boleh menyimpan peruntukan sumber modal yang diperuntukkan untuk perniagaan bazar Ramadan bagi menjalankan perniagaan yang lebih baik pada masa hadapan.

Dalam hal ini, penggunaan medium teknologi maklumat dan inovasi dalam perniagaan menerusi aplikasi internet perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meluaskan spektrum pasaran dan meningkatkan hasil jualan.

Sesungguhnya Pakej PRIHATIN yang dilaksanakan kerajaan berupaya menjadi benteng ekonomi rakyat, secara tidak langsung mengimarahkan Ramadan yang mulia ini, selaku bulan yang dinanti-natikan oleh seluruh umat Islam.

Semoga Pakej PRIHATIN yang dizahirkan kerajaan akibat wabak COVID-19 ini mampu mensejahterakan ekonomi rakyat, malah berupaya meraih pakej pahala berganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Ibarat gambaran diberikan mengenai Ramadan iaitu diawalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya pembebasan daripada neraka.

Penulis ialah Pensyarah Kanan (Perbankan dan Kewangan Islam) Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Read 285 times Last modified on Saturday, 09 May 2020 14:38

Hubungi Kami

INSTITUT PENYELIDIKAN DAN PENGURUSAN KEMISKINAN (InsPeK)

Universiti Malaysia Kelantan (UMK),
16300 Bachok, Kelantan Malaysia

Nombor telefon  : 09-7797524/ 09-7797526
Email                   : inspek@umk.edu.my
Website              : inspek.umk.edu.my
Facebook            : https://www.facebook.com/inspek.umk

Kemaskini Terakhir: 01 Disember 2020

Jumlah Pelawat

Today123
Yesterday150
This week883
This month771
Total58178

Who Is Online

2
Online

2020-12-05