Style Switcher

Layout options
  • Boxed Layout
  • Full Width Layout
Primary Color
Official Portal of Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK)

Logo KPT Font Hitamlogoumkmenegakfinal 01 5logosdg             

MALAYSIA PERLU BERSEDIA HADAPI KEMISKINAN SITUASI

15/05/2020

BERNAMA: https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=1841777#.Xr_kAYdC9Q0.whatsapp

Oleh Prof Madya Dr W. A. Amir Zal


Impak pandemik COVID-19 yang akhirnya memaksa kerajaan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan (PKP) rupa-rupanya membentuk satu jenis kemiskinan yang jarang kita wacanakan dalam konteks Malaysia, iaitu kemiskinan situasi atau ‘situational poverty’. Andaian kebimbangan awal ialah akan terbentuk kemiskinan situasi dalam skala besar di Malaysia. Andaiannya ini ada asasnya kerana menurut Bank Dunia dijangkakan seramai 40 juta hingga 60 juta pertambahan individu menjadi miskin di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19. Jumlah tersebut menyumbang sebanyak 0.3 peratus hingga 0.7 peratus kepada peratusan kemiskinan global, dan menjadikan 9 peratus kemiskinan global.

Apakah itu kemiskinan situasi? Ia adalah seseorang itu miskin disebabkan oleh keadaan tertentu yang tidak dijangka dan menyebabkan mereka kehilangan punca pendapatan. Kemiskinan situasi juga disebabkan oleh faktor lain, antaranya ialah kehilangan pekerjaan, kematian ketua isi keluarga, penceraian, ditimpa kemalangan atau sakit kronik. Dalam konteks kita sekarang, pandemik COVID-19 telah menjejaskan pendapatan banyak pihak, termasuklah menyebabkan kehilangan pekerjaan atau mendapat gaji separuh. Namun, kebiasaannya ia hanya berlaku dalam tempoh sementara sahaja.

Siapakah yang terkesan? Inilah keunikan kemiskinan situasi di mana ia bukan hanya berlaku pada kelompok yang sedia miskin (pendapatan RM980 sebulan) atau miskin bergenerasi (generational poor) sahaja, sebaliknya juga melibatkan kelompok berpendapatan rendah (pendapatan RM980 hingga RM2,614 sebulan), kelompok pendapatan pertengahan rendah (RM2,614 hingga RM4360 sebulan) dan kelompok pendapatan pertengahan tinggi atau M40.

Senario Ekonomi Semasa COVID-19

Sebelum kita meneliti lebih lanjut tentang kemiskinan situasi, adalah tepat jika diperhatikan terlebih dahulu senario semasa ekonomi sepanjang pandemik COVID-19. Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menjangkakan sebanyak 951,000 orang akan kehilangan pekerjaan yang mana sebanyak 647,000 orang adalah dari kalangan pekerja yang tidak mahir dan 303,000 orang pekerja mahir.

Jika dikhususkan ke atas sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kesan COVID-19 menyebabkan sebanyak 95 peratus PKS berhadapan dengan penurunan dalam jualan, 80 peratus tutup sementara; dan 93 peratus perniagaan tidak stabil selama 6 bulan. Juga, PKS bukan sahaja tidak dapat meneruskan aktiviti perniagaan rutin mereka, tetapi ada kemungkinan mereka akan berhadapan dengan kemuflisan yang mana dijangkakan sebanyak 480,000 PKS berpotensi untuk bankrap dan sekitar 8 juta orang akan kehilangan pekerjaan.

Realiti ini disokong pula dengan data yang dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mendapati sebanyak 53.4 peratus firma perniagaan hanya mampu bertahan selama 1 hingga 2 bulan sahaja sekiranya memberi kemudahan cuti bergaji penuh atau separuh gaji kepada pekerja. Lebih teruk apabila sebanyak 67.8 peratus firma perniagaan tidak mempunyai sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP. Dari sisi pekerja pula, data DOSM menunjukkan sebanyak 46.6 peratus responden telah kehilangan pekerjaan sepanjang PKP fasa pertama diisytiharkan.

Realiti dan Kesan Kemiskinan Situasi

Kemiskinan situasi memanifestasikan pekerja bukan sahaja tidak lagi mempunyai sumber pendapatan atau pendapatan dikurangkan, tetapi mula dihimpit dengan hutang dan tidak mempunyai simpanan yang cukup. Melalui kajian Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), hampir kesemua responden yang bekerja sendiri hilang punca pendapatan. Perkara yang dibimbangkan responden adalah penyusutan simpanan (65%), peningkatan kos utiliti (37.3%) dan peningkatan hutang (27.2%). Simpanan yang mereka juga ada tidak mampu bertahan lama, iaitu sebanyak 28 peratus hanya mampu bertahan 2 minggu ke bawah sahaja dan 29.8 peratus dapat bertahan 2 hingga 4 minggu.

Kehilangan punca pendapatan dan dibebani oleh komitmen kewangan, memberi kesan yang besar kepada keseluruhan hidup mereka. Mereka mempunyai pilihan yang terhad untuk berhadapan keadaan ini sambil berusaha mencari pekerjaan baharu. Antara pilihan tersebut ialah mengurangkan perbelanjaan, menggunakan simpanan, meminjam dan mungkin memilih untuk menggadaikan aset tertentu untuk menampung kos hidup.

Kemiskinan situasi turut memberi kesan besar kepada imej sosial mereka. Bayangkan sebelum ini mereka mempunyai kehidupan stabil dengan keperluan yang mencukupi, dikelilingi dengan persekitaran yang sederhana dengan kelas yang tersendiri, dapat akses dengan sistem sokongan sosial dengan baik, dan kini tiba-tiba mereka kehilangan kesemua itu.

Transisi Perubahan Kemiskinan Situasi

Berapa lama tempoh mereka akan terperangkap dalam kemiskinan situasi? Tempohnya adalah subjektif yang bergantung kepada banyak perkara, termasuklah krisis penyebab. Juga bergantung pada selamanya mana mereka dapat kembali memperoleh pendapatan, sama ada bekerja sendiri atau kembali bekerja dengan orang lain ataupun gajinya kembali kepada jumlah sebelum ini.

Kebiasaannya juga, individu miskin situasi mempunyai keupayaan yang lebih cepat untuk bangkit berbanding kelompok miskin bergenerasi (generational poverty) di mana mereka tahu apakah poin penting yang perlu mereka fokus untuk kembalikan kehidupan asal mereka. Cuma, pada peringkat awalnya, mereka perlukan sokongan dari pelbagai bentuk, khususnya dalam bentuk kewangan sebagai mode bertahan buat sementara waktu.

Dalam konteks reaksi segera kerajaan, pendekatan kerajaan Malaysia yang telah mengumumkan pelbagai langkah dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) adalah satu keputusan yang tepat. Antaranya adalah Bantuan Prihatin Nasional, Pengeluaran KWSP Akaun 2, Program Subsidi Upah, Bantuan tunai pemandu e-Hailing, bantuan kemudahan Khas PKS dan Usahawan Mikro, dan Moratorium 6 bulan pembayaran balik pinjaman. Langkah-langkah tersebut bukan sahaja boleh mengurangkan kebarangkalian individu tertentu terjebak dalam kemiskinan situasi, malah juga boleh membantu individu miskin situasi untuk bertahan sementara dan seterusnya mengatur langkah untuk kembalikan kehidupan asal mereka.

Strategi Mengurangkan Kemiskinan Situasi

Pihak kerajaan telahpun mengisytiharkan beberapa fasa PKP dan terkini dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mana beberapa sektor ekonomi dan aktiviti boleh beroperasi semula secara berhati-hati dan terkawal. Keadaan ini sudah pasti melegakan banyak pihak, khususnya bagi kelompok yang perlu kembali bekerja untuk mendapatkan pendapatan termasuklah mereka yang bekerja sendiri.

Bagi kelompok miskin situasi, ini antara perkara yang dinanti-nantikan. Maksudnya ialah, strategi utama untuk mengatasi kemiskinan situasi ialah kembali mempunyai sumber pendapatan, sama ada dengan kembali bekerja, menjalankan perniagaan seperti sedia kala, mendapat gaji penuh seperti sebelumnya. Cabarannya ialah, dengan mempertimbangkan keadaan ekonomi semasa, untuk mendapat kembali kerja bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, dalam tempoh terdekat ini adalah sukar. Justeru, apa yang mereka perlukan ialah jaminan pendapatan sementara khususnya dari pihak kerajaan, di samping diberikan kemudahan pembayaran hutang yang anjal sehingga mereka mendapat kembali sumber pendapatan dalam tempoh yang tertentu.

Mereka juga boleh dibantu untuk terlibat dalam ekonomi gig atau digital. Meskipun menurut kaji selidik AppJobs, peringkat awal pandemik COVID-19 menyebabkan 68 peratus pekerja ekonomi gig kehilangan pendapatan. Namun, dalam beberapa ketika kemudian, permintaan terhadap ekonomi gig kembali meningkat manakala strategi untuk PKS, antara perkara yang mereka perlukan ialah modal untuk kembali beroperasi. Selain program bantuan khas PKS yang diisytiharkan kerajaan melalui PRIHATIN, PKS juga perlukan pinjaman tertentu. Justeru itu, institusi kewangan berkaitan perlulah lebih pantas dalam memberi kemudahan kredit, di samping kadar faedah pinjaman yang lebih rendah demi bersama membangunkan kembali negara. Pinjaman PKS juga boleh dipertimbangkan untuk tidak perlu dibayar bagi tempoh masa tertentu dan dibuka peluang yang lebih besar kepada mereka untuk terlibat dalam aktiviti eksport.

Di peringkat kerajaan, strategi yang boleh dipertimbangkan ialah mencipta dan menghidupkan kembali pekerjaan yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia sahaja. Ini termasuklah mengembangkan lagi sektor ekonomi digital dan industri makanan halal.

Kesimpulannya, banyak perkara yang Malaysia pelajari dari pandemik COVID-19, khususnya berkaitan kemiskinan situasi. Meskipun kemiskinan situasi mungkin hanya menimpa seseorang untuk tempoh sementara sahaja, namun impaknya cukup besar ke atas ekonomi, sosial dan psikologi. Pemulihannya juga bergantung kepada keadaan ekonomi semasa dan memerlukan strategi yang ampuh dari pihak kerajaan. Namun, dengan iltizam dan strategi yang diimplementasikan oleh Malaysia, nampaknya Malaysia cukup bersedia untuk berhadapan dengan kemiskinan situasi.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr. W. A. Amir Zal merupakan Pengarah Institut Penyelidikan Dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek), Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Read 699 times Last modified on Thursday, 21 May 2020 22:54

Hubungi Kami

INSTITUT PENYELIDIKAN DAN PENGURUSAN KEMISKINAN (InsPeK)

Universiti Malaysia Kelantan (UMK),
16300 Bachok, Kelantan Malaysia

Nombor telefon  : 09-7797524/ 09-7797526
Email                   : inspek@umk.edu.my
Website              : inspek.umk.edu.my
Facebook            : https://www.facebook.com/inspek.umk

Kemaskini Terakhir: 01 Disember 2020

Jumlah Pelawat

Today118
Yesterday150
This week878
This month766
Total58173

Who Is Online

2
Online

2020-12-05