Bajet 2023 bakal dibentangkan tidak lama lagi menjadi platfom terbaik bagi memeta kewangan negara dalam memacu pemulihan ekonomi pada segenap aspek.
Bagaimanapun, bajet dibentang bukanlah magis yang boleh merubah landskap ekonomi negara dalam sekelip mata. Pelbagai usaha dan inisiatif perlu digerakkan dalam merealisasi gagasan terkandung dalam belanjawan berkenaan.
Besar harapan kita agar Bajet 2023 berupaya memberi sinergi kepada kegiatan ekonomi melalui kemudahan infrastuktur fizikal, material dan spiritual untuk rakyat bangkit daripada kesuraman ekonomi pascapandemik COVID-19.
Oleh itu, sejumlah peruntukan berfokus berupaya merangsang aktiviti pemulihan ekonomi lebih mampan dan kalis kejutan dalam mendepani cabaran global tidak menentu.
Intipati utama diberikan perhatian kerajaan sudah tentu tertumpu matlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam mencukupi keperluan asas Keluarga Malaysia seperti jaminan makanan, perumahan, keselamatan, kesihatan dan pekerjaan. Ini selari dengan unjuran ekonomi global dijangka berkembang pada kadar 3.6 peratus pada 2023.
Perubahan iklim pasaran perniagaan daripada lokal kepada global menerusi teknologi digital berupaya memberi impak pengganda kepada ekonomi negara.
Statistik menunjukkan pada suku pertama 2021, pendapatan daripada transaksi e-dagang melonjak sebanyak 30 peratus dengan jumlah RM254.6 bilion.
Senario ini membuktikan teknologi digital berupaya melestari perniagaan dalam memacu langkah pemulihan ekonomi lebih signifikan. Oleh itu, Bajet 2023 dijangka memeta sejumlah peruntukan bagi pembangunan infrastruktur digital terkini menerusi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pemulihan ekonomi tidak sekadar menumpukan kepada satu bidang. Pemulihan ekonomi bersifat multidimensi merangkumi penyelesaian kepada masalah asas ekonomi juga perlu diberi perhatian.
Sudah pasti, pemetaan kewangan terhadap sektor kesihatan, pengangkutan awam juga diberi perhatian oleh kerajaan. Ini penting agar keseimbangan taraf hidup Keluarga Malaysia di bandar dan luar bandar dapat dikecilkan jurangnya perbezaannya.
Bantuan kewangan masih diperlukan
Bantuan kewangan secara bersasar masih perlu kepada golongan terkesan akibat renjatan ekonomi COVID-19. Namun, bantuan itu perlu difokuskan kepada aktiviti penciptaan pendapatan dan pemulihan ekonomi keluarga, bukannya pemberian bantuan insentif kewangan semata-mata. Bantuan lebih bersasar kepada golongan terjejas seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan B40 dalam bentuk kupon subsidi barang keperluan asas adalah relevan bagi memaksimumkan pendapatan boleh guna sedia ada.
Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terjaga, kerajaan merangka formula bagi meningkat inisiatif jaminan keselamatan sosial kepada individu berdepan kesukaran sosial dan kekangan ekonomi.
Antaranya inisiatif dilaksanakan kerajaan ialah Skim Baucar Perlindungan Tenang (PTV) dilancarkan pada tahun ini yang menawarkan perlindungan sosial dalam bentuk insuran dan takaful kepada 8.4 juta penerima layak daripada kalangan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Skim ini dilihat signifikan dalam keadaan rakyat berdepan kos sara hidup tinggi dan kantung pendapatan dan simpanan agak mengecil. Manfaatnya diharap dapat diperluaskan kepada lebih ramai individu menerusi peruntukan Bajet 2023.
Skim ini berupaya menjadi penampan kewangan kepada Keluarga Malaysia dalam menghadapi kejutan ekonomi tanpa menjejaskan rutin dan kualiti kehidupan seharian.
Menerusi Bajet 2023 terdapat pelbagai inisiatif pembangunan dan pemulihan ekonomi bakal diberi perhatian oleh kerajaan. Bagaimanapun, penyertaan rakyat dalam menyahut seruan kerajaan juga menjadi indikator penting dalam memastikan kejayaan dipetakan dalam pembentangan Bajet 2023 dapat direalisasikan.
Bajet 2023 juga perlu seiring pemerkasaan sistem tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam cekap, telus serta berkesan. Pemetaan kewangan terhadap peruntukan dalam pengurusan risiko bencana juga perlu diberi perhatian agar kelangsungan hidup rakyat tidak terjejas disebabkan perubahan iklim dan geopolitik tidak menentu.
Realitinya, Bajet 2023 dinantikan seluruh Keluarga Malaysia bagi memastikan momentum pemulihan ekonomi dapat dipacu dengan jaya. Usaha mendepani cabaran ekonomi tidak hanya terletak di bahu kerajaan.
Seluruh Keluarga Malaysia dari Perlis hingga Sabah perlu berganding bagi memastikan setiap agenda dirancang selari Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan mencapai aspirasi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.
Profesor Madya Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)