KALAM PENGARAH

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, InsPeK terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan penyelidikan dan pengurusan kemiskinan yang berimpak tinggi. Tahun 2026 menandakan fasa baharu perjalanan InsPeK, selari dengan komitmen berterusan untuk memperkasa komuniti miskin secara mampan dan berasaskan bukti.

Sejak penubuhannya pada tahun 2014 dan penstrukturan semula pada tahun 2017, InsPeK telah berkembang sebagai sebuah institusi penyelidikan yang lebih berarus perdana dengan fokus yang jelas terhadap kebersamaan bersama komuniti miskin, penglibatan pelbagai pemegang taruh serta penjanaan impak lestari dalam pengurusan kemiskinan. Sepanjang sedekad perjalanan ini, InsPeK telah membina asas yang kukuh melalui pelaksanaan lebih 80 projek penyelidikan, pembangunan kapasiti dan pemindahan ilmu merangkumi pelbagai disiplin dan isu strategik.

Antara pencapaian signifikan InsPeK ialah pelaksanaan kajian “Pemetaan Kemiskinan 360 Darjah” yang telah diterimapakai secara meluas di peringkat nasional, termasuk oleh Kementerian Ekonomi. Kajian ini melibatkan lebih 8,000 Ketua Isi Rumah Miskin (KIR) dan menjadi rujukan penting dalam memahami realiti kemiskinan secara menyeluruh, bersepadu dan berasaskan data.

Keunikan pendekatan InsPeK terletak pada penekanan terhadap penyelidikan gunaan serta translational research, yang memastikan dapatan kajian bukan sekadar bersifat akademik, malah dapat diterjemahkan kepada dasar, strategi dan intervensi yang praktikal serta berkesan. Seiring itu, InsPeK turut giat melaksanakan program pembinaan kapasiti komuniti dengan matlamat membina keupayaan berdikari, meningkatkan daya tahan sosioekonomi dan memutuskan rantaian kemiskinan antara generasi.

Pembangunan kapasiti komuniti oleh InsPeK digerakkan melalui pendekatan ekosistem holistik yang melibatkan kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK), institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, industri, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti sasaran sendiri. Pendekatan keterangkuman ini telah membolehkan pelaksanaan inisiatif yang lebih bersepadu, bersasar dan memberi impak jangka panjang.

Selain itu, InsPeK turut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan pelan strategik dan penggubalan dasar di peringkat komuniti, kerajaan tempatan, negeri, persekutuan dan antarabangsa. Inisiatif seperti konsep “Lembah Barakah” dan “KEGA Valley” terus diperkasa melalui penglibatan pakar bidang dan industri, selaras dengan keperluan semasa serta aspirasi pembangunan inklusif negara.

Memasuki tahun 2026, InsPeK komited untuk memperkukuh peranan sebagai pemacu penyelidikan berimpak, pemudah cara dasar berasaskan bukti dan agen perubahan sosial yang berteraskan nilai kemanusiaan. Setiap usaha yang digerakkan berteraskan satu matlamat utama, iaitu menguruskan kemiskinan secara lestari agar komuniti miskin dapat menikmati kesejahteraan hidup dan seterusnya kembali menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada pengurusan tertinggi Universiti Malaysia Kelantan atas sokongan berterusan kepada InsPeK, serta kepada seluruh warga UMK yang sentiasa menjadi rakan strategik dan tulang belakang kejayaan institut ini. Penghargaan juga ditujukan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, rakan industri, NGO serta komuniti sasaran yang terus bersama-sama berganding bahu dalam usaha memerangi kemiskinan secara mampan.

Bersama, kita memperkukuh ikhtiar dan terus merekayasa kemiskinan demi masa depan yang lebih sejahtera dan inklusif.

Dr. Ahmad Fahme bin Mohd Ali
Pengarah
Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK)
Universiti Malaysia Kelantan

Januari 2026