BACHOK: Kolaberasi Orang Asli, Sungai Rual, Kelantan atau kumpulan 'Jah Ai Sungai Rual', bersama dua orang penyelidik daripada Institut Penyelidikan & Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merangkap pensyarah kanan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) yang di ketuai oleh Cik Nawwal Abdul Kadir dan Dr Tengku Fauzan Tengku Anuar telah mencatat sejarah apabila mendapat tempat pertama bagi kategori Kemasan Lembut dalam pertandingan rekaan batik Piala Seri Endon (PSE) 2022 yang diadakan bagi peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Bahagian Penyelidikan InsPeK, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Tengku Fauzan Tengku Anuar berkata, kumpulan ini juga turut disertai oleh dua orang wanita Orang Asli iaitu l Fauziah Mohd. Yusoff, 24, dan Norhakiki Mohd. Zaudi, 27, yang tinggal di Sungai Rual, Jeli.

“Kemenangan itu adalah menerusi projek Perusahaan Sosial InoProduk (Batik) Sungai Rual, Jeli, yang bergandingan dengan kerjasama InsPeK dan FTKW UMK dalam memartabatkan batik Malaysia supaya terus unggul di mata dunia.

“Projek InoProduk Batik Sungai Rual ini telah bermula sejak 1 Oktober 2020 dan masih diteruskan sehingga kini. Komitmen yang ditunjukan oleh peserta wanita orang asli dalam projek InoProduk telah membawa kepada kejayaan ini.” katanya

Menurutnya, pada pertandingan itu kumpulan 'Jah Ai Sungai Rual adalah antara 9 kumpulan finalist dari seluruh Malaysia yang menyertainya bagi kategori Kemasan Lembut.

Tambahya, keistimewaan produk dari kumpulan ini adalah daripada segi penggunaan bahan untuk mewarna batik yang menggunakan 100 peratus warna alam iaitu tanpa menggunakan bahan kimia.

“Bahan pewarna digunakan adalah daripada tumbuhan yang dikenali sebagai Indigofera Tinctoria, disamping reka corak batik juga hasil inspirasi daripada persekitaran perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Jeli, Kelantan dan disusun mengikut rekaletak struktur batik sarung tradisional Kelantan.

“Insha-Allah projek warna alam ini akan diteruskan pada masa akan datang dan akan dijadikan identiti InoProduk Suku Jahai Sungai Rual,” katanya.

Dr Tengku Fauzan berkata, antara objektif utama penglibatan penyertaan ‘Jah Ai Sungai Rual’ ke PSE22 adalah untuk memperkenalkan kearifan lokal wanita Orang Asli Sungai Rual dalam penghasilan warna alam kepada masyarakat Malaysia.

Beliau memberitahu, ia juga merupakan projek batik warna alam yang julung kali diusahakan oleh wanita Orang Asli di Malaysia.

“Program ini sekali gus memberi pendedahan kepada mereka berinteraksi dengan masyarakat luar serta melibatkan diri dalam industri batik negara.

“Selain daripada itu, ia juga sebagai platform bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat Orang Asli berkaitan budaya, corak kehidupan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada Prof. Dr. Razli bin Che Razak, Naib Canselor, UMK, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal bin Wan Ismail, Pengarah InsPeK, UMK, Dr Hanisa binti Hasaan, Dekan FTKW, UMK, JAKOA Kelantan dan pihak Yayasan Budi Penyayang di atas sokongan yang berterusan kepada projek ini. Jalinan kerjasama antara agensi, sokongan erat pengurusan atasan UMK dan komitmen berterusan ahli kumpulan menjadi kunci kejayaan ‘Jah Ai Sungai Rual’ dalam memartabatkan warna alam sebagai salah satu alternatif warna batik dan produk lokal.

-Habis-
Image