Assalamu alaikum dan salam sejahtera,

Tahun 2021 merupakan cerminan bagi tahun terkebelakang, khususnya tahun 2020. Semua maklum, tahun 2020 merupakan tahun yang penuh pancaroba kerana seluruh dilanda pandemik COVID-19 yang mencabar norma masyarakat dari pelbagai aspek. Ketara sekali ialah mewujudkan keterancaman kepada masyarakat dari aspek ekonomi dan kesejahteraan hidup.

Dari aspek ekonomi, jelas sekali ia meningkatkan kelompok rentan, mewujudkan kelompok kemiskinan situasi (situational poverty) dan menampilkan lebih jelas kemiskinan digital (digital poverty). Kesemua ini akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan hidup manusia.

Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedar dengan ancaman tersebut, malah InsPeK berusaha untuk menjadi pemangkin perubahan yang positif kepada masyarakat. Bukan sahaja sumbangan InsPeK dari aspek penghasilan data penyelidikan, tetapi memaklumkan lebih awal tentang kewujudan kemiskinan bentuk baharu seperti kemiskinan situasi dan digital kepada khalayak.

InsPeK juga sedar dengan anjakan polisi dan tumpuan baharu kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Juga pengenalan Pendapatan Garis Kemiskinan baharu yang dikenali sebagai PGK 2019. Di peringkat antarabangsa, InsPeK turut cuba turut serta berasaskan kekuatan tersendiri dengan mempertimbangkan untuk turut bersama dalam Sustainable Development Goals (SDGs).

Pertimbangan antara realiti dan polisi telah mendorong InsPeK untuk menghasilkan pelbagai strategi yang inovasi sifatnya seperti penumpuan kepada kerangka Perusahaan Sosial (Social Enterprise). Usaha ini dapat diperhatikan melalui pelbagai bentuk projek dan program dengan kerjasama antara pelbagai rakan strategik seperti Kementerian Kewangan, Pemodalan Nasional Berhad (PNB), All-Party Parliamentary Group Malaysia-Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Bagi peringkat negeri pula, InsPeK berusaha untuk bersama dengan kerajaan negeri melalui “Lembah Barakah: Bersama Melangkah Ke Hadapan”. Lembah Barakah mengandungi pelbagai program dengan kerangka 3 dalam 1, iaitu menguruskan kemiskinan, meningkatkan kesejahteraan hidup dan meningkatkan tahap sosioekonomi Kelantan. Usaha-usaha tersebut dilakukan secara bersama dengan rakan strategik dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Pencapaian terbaru, InsPeK telah mendapat pengiktirafan sebagai Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ini menjadikan InsPeK sebagai pakar rujuk (referral point) dalam bidang tujahan berfokus di peringkat serantau dan antarabangsa.

Pencapaian dan pengiktirafan yang diterima oleh InsPeK telah mendorong InsPeK untuk bekerja dengan lebih berhikmah di masa hadapan. Ini diterjemahkan melalui Pelan Pelaksanaan Strategik InsPeK 2021-2025 yang akan dilancarkan kelak.

Semoga usaha yang dilakukan InsPeK memberi manfaat dan diberkati ALLAH SWT.

Terima kasih.

 

Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal bin Wan Ismail

Pengarah

Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK)

Universiti Malaysia Kelantan

16300 Bachok, Kelantan, MALAYSIA

 

E-mel: waamirzal@umk.edu.my

 

Image