Amal 'muhasabah' kewangan serap kenaikan kos sara hidup

Amal 'muhasabah' kewangan serap kenaikan kos sara hidup

Oleh Prof Madya Dr Azwan Abdullah dan Muhammad Zariq Naqiuddin Zaid - November 17, 2023 @ 12:21pm

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/11/1178110/amal-muhasabah-kewangan-serap-kenaikan-kos-sara-hidup

 

Bebanan kenaikan kos sara hidup, tekanan inflasi dan nilai ringgit tidak menentu amat mempengaruhi kemampuan kewangan untuk meneruskan hidup ahri ini. Walaupun pelbagai langkah intervensi dilaskanakan kerajaan, ia tidak mampu membantu keseluruhan masyarakat.

Justeru, masyarakat terutama ketua isu rumah atau individu bekerja juga perlu lebih cakna bagaimana hendak menguruskan perbelanjaan isi rumah sama ada belanja seharian atau bulanan.

Dalam hal ini, kecekapan menguruskan perbelanjaan isi rumah adalah faktor penting bagi memacu kelestarian kewangan keluarga. Dalam hal ini ketua isi rumah memainkan peranan utama bagi memastikan setiap wang dibelanjakan memberi nilai setimpal kepada manfaat diterima.

Sebaiknya, pelan perbelanjaan dirancang secara sistematik dengan mengutamakan aspek keperluan amat penting berbanding elemen kehendak dan kemahuan. Perbelanjaan dilaksanakan secara berlebihan boleh menyebabkan defisit dalam kewangan isi rumah.

Jika keadaan ini berlaku, ia boleh disifatkan sebagai satu tragedi atau musibah kewangan yang memberi kesan negatif kepada ekosistem kewangan keluarga itu sendiri.

Statistik kebankrapan mengikut umur dicatatkan bermula 2019 sehingga April lalu menunjukkan 38 peratus kes terdiri daripada mereka berusia di antara 35 hingga 44 tahun. Jumlah keseluruhan muflis direkodkan sehingga April lalu adalah 264,127 kes.

Bagi membendung tragedi kewangan isi rumah daripada terjerumus dalam keadaan defisit, seharusnya pengurusan maklumat perbelanjaan ditadbir dengan sebaiknya setiap ketua keluarga. Pengurusan maklumat perbelanjaan adalah satu elemen forensik kewangan boleh dilaksanakan secara kendiri.

Tindakan ini boleh dibuat dengan semudah menyimpan setiap resit perbelanjaan untuk tujuan rujukan bagi merancang pembelian masa hadapan. Hal ini nampak remeh, tetapi kesannya sangat mujarab bagi merangka perbelanjaan pada masa hadapan.

Maklumat perbelanjaan perlu diuruskan dengan sistematik mengikut kategori pembelian seperti barang dapur, penjagaan diri dan kesihatan, pembayaran bil utiliti dan keperluan asas lain. Resit pembelian disimpan boleh diaudit secara kendiri bagi tujuan perbandingan harga masa lalu dan harga pada kadar semasa.

Secara tidak langsung, tindakan ini akan mewujudkan satu penanda aras perbelanjaan lebih cekap kepada isi rumah dalam membuat keputusan pembelian bermanfaat untuk seisi keluarga. Maklumat perbelanjaan diuruskan dengan baik berupaya memberi impak terhadap penyata aliran tunai positif kepada isi rumah.

Dengan kata lain, kesihatan kewangan isi rumah berada dalam keadaan stabil dan terurus jika meneliti maklumat perbelanjaan lalu sebelum melaksanakan perbelanjaan baharu.

Sejarah pembelian lepas perlu disaring terlebih dahulu berdasarkan resit perbelanjaan sebelum ini dengan mengambil kira kadar kenaikan kos semasa dan membandingkan kemampuan pendapatan sedia ada.

Hal ini secara langsung dapat mengekang keadaan inflasi yang berlaku dalam ekonomi serta mensejahterakan kewangan isi rumah itu sendiri. Pada masa kini, terdapat pelbagai kaedah melaksanakan pengurusan maklumat perbelanjaan cekap.

Secara umumnya, maklumat perbelanjaan boleh disimpan secara manual melalui sistem dokumentasi fail mudah rujuk berdasarkan buku catatan rekod perbelanjaan isi rumah.

Pada masa kini, penggunaan sistem maklumat secara digital dan dalam talian berupaya menyimpan maklumat perbelanjaan bagi mengelakkan risiko kehilangan dan kemusnahan maklumat.

Maklumat perbelanjaan boleh dirujuk semula dengan mudah bagi membuat semakan terhadap harga, pengeluar, jenama dan peniaga terbabit. Tindakan ini melambangkan pengguna bijak bukan sekadar dalam aspek perbelanjaan tetapi pembuatan keputusan ke atas setiap nilai wang dibelanjakan.

Pengurusan maklumat perbelanjaan sistematik dapat membantu ketua isi rumah melaksanakan bajet secara berkala. Sebagai panduan, bajet bagi perbelanjaan keperluan isi rumah sebaiknya disarankan tidak melebihi 50 peratus daripada pendapatan bersih diterima setiap bulan.

Kemampuan kewangan

Perlu diingatkan peruntukan perbelanjaan ini bersifat subjektif serta bergantung kepada keperluan semasa dan kemampuan kewangan pada masa itu. Selain perbelanjaan, perkara tidak boleh diabaikan dalam menguruskan bajet bulanan ialah peruntukan bagi simpanan masa hadapan dan kecemasan serta sedikit ruang perancangan pelaburan.

Maklumat perbelanjaan dikemas kini daripada semasa ke semasa boleh dijadikan panduan kepada isi rumah dalam menstruktur semula perbelanjaan secara berhemah. Perbelanjaan tidak menyumbang kepada manfaat berganda terhadap penggunaan perlu disingkirkan daripada senarai perbelanjaan masa hadapan.

Perbelanjaan terhadap barang mempunyai skala penggunaan tinggi kepada seluruh ahli isi rumah perlu dimaksimumkan bagi mengurangkan ketidakcukupan dalam penggunaan. Contohnya seperti keperluan terhadap makanan dan produk penjagaan kesihatan.

Tindakan ini secara langsung dapat memberi keseimbangan dalam konteks perbelanjaan dan penggunaan memberi impak kepada ekonomi rumah tangga.

Dalam keadaan ekonomi semakin mencabar, tindakan isi rumah menguruskan maklumat perbelanjaan disifatkan suatu tugas perlu bagi memastikan kantung kewangan berada dalam keadaan baik setiap masa.

Maklumat perbelanjaan sedia ada bertindak sebagai mekanisme 'muhasabah' kewangan bagi memberi amaran awal kepada perancangan perbelanjaan akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Dengan adanya maklumat perbelanjaan boleh dirujuk pada bila-bila masa, pengguna akan lebih peka dan cakna terhadap gelagat harga pasaran, permintaan dan penawaran berlaku dalam ekonomi. Hal ini secara tidak langsung menjadikan isi rumah berupaya bertindak balas dengan mekanisme pasaran secara lebih efektif.

Ia bermaksud mengurangkan perbelanjaan apabila berlakunya peningkatan harga dan memaksimumkan kuasa beli apabila berlaku penurunan dalam harga pasaran.

Ironinya, dengan adanya pengurusan maklumat perbelanjaan, ketua isi rumah sudah melaksanakan satu tanggungjawab sosial untuk diri sendiri dan keluarga. Tindakan ini relevan dalam memastikan gelagat pasaran sedia ada tidak berupaya memanipulasikan kuasa beli pengguna itu sendiri.

Secara drastik, ia membolehkan pengguna mengekang keadaan pasaran tanpa perlu penguatkuasaan sepenuhnya daripada kerajaan. Oleh itu, pengurusan maklumat perbelanjaan isi rumah adalah satu kemestian dalam menghadapi keadaan ekonomi masa kini.

Pengurusan maklumat perbelanjaan holistik berupaya memberi sinergi dalam tadbir urus kewangan dengan lebih berhemah demi memastikan kesejahteraan keluarga secara lebih inklusif.

Penulis adalah Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan

 

 

 

 

 

000
Read 146 times Last modified on Monday, 27 November 2023 15:00
Rate this item
(0 votes)