15 pakar ekonomi anggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

15 pakar ekonomi anggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

28 November 2023: 15 pakar ekonomi anggotai jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen

 

https://www.utusan.com.my/berita/2023/11/15-pakar-ekonomi-anggotai-jawatankuasa-pilihan-khas-parlimen/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&utm_campaign=utusan+online&fbclid=IwAR2D3-s-zXvQ0Zf-2lBqPlWJaPOHu4nOlEbiepBCFWRUBpw48KPlFLsLBIc

 

KUALA LUMPUR: Seramai 15 pakar akademik dalam bidang ekonomi daripada universiti awam dan institusi pendidikan tinggi swasta dilantik sebagai pakar rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen (JKPKKE).

Antara pakar ekonomi dilantik adalah Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Penyerahan watikah pelantikan  disempurnakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Pengerusi JKPKKE, Datuk Mohd. Shahar Abdullah.

Johari berkata, barisan 15 pakar itu disyorkan oleh Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi berdasarkan pengalaman luas mereka dalam bidang kewangan dan ekonomi, pelaburan dan perdagangan antarabangsa, rantaian nilai global, pembangunan ekonomi dan ekonometrik.

Justeru, katanya, pakar-pakar rujuk tersebut akan bertanggungjawab memberi khidmat nasihat dan rujukan kepada JKPKKE dalam hal ehwal berkaitan ekonomi dan kewangan.

 

“JKPKKE merupakan salah satu daripada mekanisme badan perundangan yang penting dan saling melengkapi kepada badan eksekutif. Pemerkasaan instrumen legislatif merupakan antara agenda penting dalam Reformasi Parlimen.

“Harapan saya agar inisiatif kolaborasi ini dapat meningkatkan keberkesanan dan meningkatkan kewibawaan Jawatankuasa Pilihan (JKPK) dalam menjalankan proses semak dan imbang terhadap badan eksekutif,” katanya di Parlimen hari ini.

Selain Dr. Noor Azlan, jawatankuasa itu disertai tiga lagi pakar ekonomi dari UKM iaitu Prof. Madya Dr. Andrew Kam Yia Ji, Prof. Dr. Tamat Sarmidi dan Prof. Dr. Aini Aman serta dua pakar ekonomi dari Universiti Malaya iaitu Prof. Dr. Evelyn S. Devadason dan Prof. Dr. Fatimah Kari.

Ia diikuti Prof. Dr. Mustafa Mohd. Hanefah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),  Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan @ Mohammad dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Lima lagi pakar ekonomi dari universiti swasta iaitu Dr. Teo Wing Leong dari Universiti Nottingham Malaysia manakala empat lagi dari Universiti Tunku Abdul Rahman Management and Technology (TAR UMT), Prof. Dr. Chong Shyue Chuan, Prof. Madya Dr. Chin Mui Yin, Prof. Madya Dr. Foo Lee Peng dan Prof. Madya Dr. Wong Mei Foong.

Terdapat 10 jawatankuasa khas Parlimen yang telah dilantik dengan perintah Dewan Rakyat sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap kementerian-kementerian, membantu menambah baik urusan kementerian-kementerian mencari jalan penyelesaian bersama terhadap isu kepentingan rakyat serta membawa usul untuk perbincangan dan perbahasan yang lebih lanjut dalam Dewan Rakyat.

 

Seramai10 Ahli Dewan Rakyat daripada kalangan backbenchers dan pembangkang telah dipilih sebagai pengerusi jawatankuasa-jawatankuasa ini. – UTUSAN

000
Read 117 times
Rate this item
(0 votes)