Zahid seru semua pihak bantu noktahkan kemiskinan di Malaysia

Zahid seru semua pihak bantu noktahkan kemiskinan di Malaysia

20 Disember 2023: Zahid seru semua pihak bantu noktahkan kemiskinan di Malaysia

KAJANG – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak untuk turut sama dalam usaha memastikan kemiskinan benar-benar dapat dinoktahkan di negara ini.

Menurut Ahmad Zahid, usaha tersebut perlu disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO), tokoh individu, gerakan swadaya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta entiti perniagaan.

Beliau berkata, kemiskinan adalah isu malar, penting dan amat dekat dengan rakyat dan ia menjadi tanggungjawab Kerajaan Perpaduan untuk secara konsisten menyelesaikan bebanan kos sara hidup yang tinggi dan mengawal kadar pengangguran yang menjadi faktor yang boleh menjerumuskan isi rumah ke dalam kancah kemiskinan.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politiknya di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Mohd Razlan Rafii dalam ucapan penutup Kongres Menoktah Kemiskinan: Peranan Sektor Ketiga 2023 di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kerajaan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin bagi meningkatkan potensi pendapatan, yang ternyata memberi kesan terhadap penurunan jumlah isi rumah dalam kategori miskin tegar kepada 18,000 keluarga.

Kerajaan turut mewujudkan pelbagai insentif antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi kepada pesawah dan pekebun kecil serta projek pembaikan membabitkan infrastruktur luar bandar.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri mengusulkan supaya gerakan koperasi negara perlu bergerak secara bersepadu menerusi pembentukan satu gabungan untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain mampu memperkukuh jaminan keselamatan makanan negara dan mengimbangi kos makanan yang semakin meningkat.

“Inisiatif ini tidak mungkin dapat dijayakan dengan komprehensif tanpa sokongan dan gabungan usaha daripada pemain sektor ketiga.

“Saya menghargai sumbangan dan kebersamaan pemimpin NGO serta GLC pemain perniagaan yang turut menyatakan komitmen dan kesediaan untuk bersama menoktahkan kemiskinan,” katanya lagi.

000
Read 117 times Last modified on Sunday, 24 December 2023 11:46
Rate this item
(0 votes)