Data raya maklumat kewangan kendiri elak miskin selepas raya

Data raya maklumat kewangan kendiri elak miskin selepas raya

9 April 2024: https://www.utusan.com.my/rencana/2024/04/data-raya-maklumat-kewangan-kendiri-elak-miskin-selepas-raya/

SETIAP tahun, perayaan hari raya merupakan momen yang dinanti-nantikan. Ia merupakan masa untuk berkumpul bersama keluarga, berkongsi kegembiraan dan merayakan pencapaian serta keberkatan. 

Dalam mendepani trend perbelanjaan raya yang meningkat, persediaan untuk menyambut tetamu dan keghairahan untuk membeli pakaian serta kelengkapan baharu boleh menyebabkan tekanan kewangan yang besar. Oleh itu, adalah penting untuk mengamalkan pengurusan kewangan keluarga yang lestari bagi mengelakkan kemungkinan jatuh miskin selepas raya.

Pengurusan kewangan yang lestari ialah dengan mengadakan persediaan rapi untuk menyambut hari raya secara sederhana tetapi meriah.  Dengan kata lain, persiapan kewangan yang bersesuaian dengan duit poket dan simpanan yang tersedia.  Berlebihan dalam menyediakan perbelanjaan untuk makanan dan minuman serta perbelanjaan tambahan untuk pakaian dan hadiah boleh memberi kesan yang negatif kepada baki kewangan seseorang. 

Ini mengapa amalan pengurusan sistem maklumat data raya kewangan kendiri yang bertindak sebagai ‘siren penggera’ dalam mengimbangi aspek keperluan dan kehendak dalam berbelanja amat penting.

Pertama sekali, langkah terpenting dalam mengurus maklumat kewangan kendiri adalah dengan merangka perancangan awal. Tinjauan awal berkenaan keperluan perbelanjaan perlu dilaksanakan secara sistematik dan holistik.  Data berkenaan harga barang keperluan perlu dikumpul dan diperhalusi, disimpan sebagai rujukan bagi membuat keputusan pembelian yang sepadan dengan bajet kewangan.  

 

Langkah yang terbaik ialah sebelum perayaan bermula, individu perlu membuat anggaran kewangan yang teliti dan realistik. Anggaran ini haruslah merangkumi semua perbelanjaan yang dijangka, termasuk makanan, dekorasi, pakaian serta hadiah. Data berkenaan harga barang yang dikumpul sebelum ini boleh dipadankan dengan keperluan sebenar berdasarkan anggaran yang jelas bagi membolehkan individu mengawal perbelanjaan dengan lebih berkesan bagi mengelakkan pembaziran wang.

Melalui tinjauan pasaran pengguna dapat memanfaatkan pelbagai sumber maklumat kewangan yang ada dalam pembuatan keputusan perbelanjaan. Terdapat banyak aplikasi dan perisian kewangan yang boleh membantu individu menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik. Contohnya, aplikasi perbelanjaan yang membolehkan individu merekodkan dan mengkategorikan perbelanjaan secara automatik, memudahkan mereka untuk melihat dan mengawal aliran masuk dan keluar wang dengan lebih sistematik.  

Dengan adanya pelbagai data yang kaya maklumat tentang harga pasaran, jenama dan lokasi kedai, secara tidak langsung sebenarnya pengguna membina pelantar data raya kendiri.  Ini membolehkan pengguna membuat keputusan dengan penyesuaian kewangan bagi perbelanjaan yang memberi nilai maksimum ke atas setiap wang yang dibelanjakan. 

 

Selain itu, penting untuk mengamalkan perbelanjaan berhemat semasa menyambut raya. Kehematan yang dimaksudkan ialah dengan mengambil langkah mengenal pasti barang keperluan yang dijual menerusi kaedah promosi potongan harga dan bertindak membeli barang keperluan yang perlu sahaja.  

Pengguna juga disaran untuk membeli pakaian raya secara berhemah dengan mempertimbangkan kualiti dan kegunaan jangka panjang dan kepentingannya penting bagi mengelakkan pembaziran kewangan.Tindakan membandingkan harga sebelum membuat pembelian merupakan langkah yang bijak walaupun kekadang terpaksa mengorbankan sedikit masa untuk tujuan tersebut. Hal ini wajar asalkan tidak membazirkan wang yang banyak bagi tujuan pembelian yang tidak berfaedah. 

Sudah menjadi perkara wajib dalam menyiapkan persiapan hari raya ialah perbelanjaan terhadap keperluan barang dapur.  Perbelanjaan ini diperlukan bagi menyediakan makanan, kuih muih dan juadah raya yang bakal disambut di hari lebaran yang dinanti.  Sebagai langkah penjimatan yang efektif, pengguna juga boleh memilih untuk memasak sendiri hidangan raya daripada membeli makanan atau juadah yang sudah siap di pasaran. Tindakan ini diharap dapat membantu menjimatkan perbelanjaan, malahan juga memupuk semangat berkongsi, kesamaan dan kesukarelaan dalam komuniti ketika meraikan hari raya. 

Selain daripada itu, keluarga juga boleh mengamalkan kehematan dalam perbelanjaan hadiah raya. Buatlah senarai hadiah atau duit raya yang perlu disediakan.  Tetapkan bajet yang munasabah untuk setiap hadiah. Perhatikan maklumat data dalam peruntukan hadiah raya sebelum ini. Maklumat ini boleh menjadi penanda aras bagi mengelakkan peruntukan yang berlebihan dalam perkara ini. 

 

Dalam masa yang sama pengguna juga boleh mengambil kira untuk membuat hadiah secara kreatif atau memberikan hadiah yang mempunyai nilai sentimental. Tindakan ini tidak hanya membantu mengurangkan tekanan kewangan tetapi juga memupuk nilai-nilai kasih sayang dan hubungan dalam meraikan sambutan raya.

HUTANG

 

Walau bagaimanapun, dalam kesibukan membuat persiapan raya, perkara yang perlu juga diberi perhatian ialah aspek pengurusan hutang.  Data dan maklumat berkenaan hutang terkini yang perlu dilunaskan perlu dikemaskini daripada semasa ke semasa.  Pengguna perlu peka dengan tanggungan hutang yang perlu dibayar melalui pengurusan maklumat kendiri menerusi data raya kewangan peribadi yang disediakan.  Jangan tunggu sehingga dihubungi oleh pihak bank, sebaliknya, pengguna perlu melaksanakan langkah proaktif agar tidak berlaku tunggakan atau penalti bayaran yang perlu dilangsaikan akibat kelalaian membayar hutang.  

Maklumat berkenaan data hutang perlu dikemaskini daripada semasa ke semasa melalui pengurusan maklumat data raya kendiri.  Tindakan ini berupaya mengelakkan gejala gali lubang, tutup lubang, iaitu menambah hutang baharu bagi membayar hutang lama.  Keadaan ini menyebabkan individu berada dalam perangkap hutang yang tiada kesudahan. 

Dengan adanya pengurusan maklumat hutang yang kendiri, pengguna berupaya mendidik diri untuk keluar daripada kepompong keberhutangan dengan lebih kondusif.  Hutang dibayar, perbelanjaan lain terlaksana seperti biasa tanpa tergendala.

Salah satu cara bagi mengatasi masalah keberhutangan yang tinggi dengan perlu menghadkan penggunaan kad kredit secara berlebihan dan berkomitmen untuk membayar hutang dengan teratur. Perlu bagi pengguna untuk menetapkan had perbelanjaan yang munasabah dan berusaha untuk tidak melebihi had tersebut dalam melakukan transaksi perbelanjaan. 

Langkah ini penting dalam mencegah beban kewangan yang berlebihan selepas raya serta memberi kesan berpanjangan terhadap emosi dan kemerosotan tahap kesihatan tanpa disedari. 

Penting untuk diingat bahawa pengurusan kewangan yang sistematik bukan hanya penting semasa musim perayaan raya sahaja tetapi juga sepanjang tahun dan seada usia. Ironinya, setiap individu perlu mengamalkan kebiasaan kewangan yang sihat dan membuat keputusan yang bijak dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Pembangunan maklumat data raya kewangan kendiri merupakan inisiatif pengguna dalam mengawal perbelanjaan, mengurus hutang dengan berkesan dan menyimpan untuk masa depan.  Melalui tindakan ini individu dapat mencapai keseimbangan kewangan yang berterusan dan mengelakkan keadaan defisit kewangan yang akhirnya membawa kepada keadaan kemiskinan yang tidak berkesudahan.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

 

MUHAMMAD Zariq Naqiuddin Zaid ialah Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

000
Read 39 times Last modified on Sunday, 14 April 2024 09:28
Rate this item
(1 Vote)