Image
LIMA BUAH KAMPUNG DI MACHANG BERPOTENSI DIPILIH SEBAGAI KAMPUNG ANGKAT MADANI

MACHANG 6 Mac 2025 I Lima buah kampung di sekitar Machang, Kelantan, dikenalpasti untuk dipilih sebagai Projek Kampung Angkat Madani (KAM) Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Program KAM ini akan digerakkan oleh Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Pusat Kerjasama Industri Universiti (CUIC) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

Ia juga melibatkan pelaksanaan oleh seluruh warga UMK sepanjang tempoh 2025.
Bersempena program itu satu tinjauan awal telah di lakukan untuk mengenalpasti beberapa kampung yang berpotensi untuk pelaksanaan Projek Kampung Angkat Madani (KAM).

Pengarah InsPeK UMK, Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, antara lokasi kampung-kampung yang terlibat dalam tinjauan ini termasuklah kampung Sungai Mas, kampung Bukit Tiu, kampung Cherang, kampung Selinsing, dan kampung Padang Raja.

Beliau berkata, tinjauan awal telah dilaksanakan bagi memetakan potensi komuniti dalam pembangunan infrastruktur, mengenal pasti projek serta program sosioekonomi yang berpotensi, dan merangka strategi pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat.

“Projek KAM ini turut menekankan konsep Whole of Government, yang menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak dalam merangka penyelesaian terbaik terhadap cabaran pembangunan luar bandar secara sistematik dan mampan.
“Hasil tinjauan ini, pelbagai maklumat diperoleh berkaitan keperluan infrastruktur asas, cabaran sosioekonomi, dan kesejahteraan sosial komuniti.

“Turut diadakan perbincangan bersama pemimpin masyarakat serta penduduk setempat membantu mengenal pasti isu-isu utama yang perlu diberi perhatian, termasuk peningkatan akses kepada kemudahan asas, peluang pembangunan ekonomi, serta pengukuhan modal insan melalui pendidikan dan latihan keusahawanan,” katanya.

Turut terlibat dalam lawatan ini ialah Mantan Ahli LPU UMK dan Mantan Pengarah JPN Kelantan, Haji Hussain Awang, Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Julie Juliewatty Mohamed, Pengarah Pusat Kerjasama Industri Universiti (CUIC) UMK, Prof. Madya Ts. Dr. Tan Tse Guan, wakil pemimpin komuniti, Pegawai Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), dan staf InsPeK.
Berdasarkan input yang diperoleh akan digunakan bagi membentuk rangka kerja strategik dan pelaksanaan projek pembangunan komuniti yang lebih holistik dan bersasar.

Pelaksanaan tinjauan ini membuktikan komitmen UMK dalam memperkasa komuniti luar bandar menerusi program berimpak tinggi yang berlandaskan kajian lapangan dan penyertaan aktif masyarakat.
Hasil dapatan akan menjadi asas kepada perancangan intervensi yang berstruktur, seterusnya memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan secara mampan dan inklusif demi kesejahteraan masyarakat di Kampung Bukit Tiu dan kawasan sekitar.

Objektif KAM adalah berteraskan konsep pembangunan komuniti inklusif dengan matlamat utama untuk merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar, melengkapkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar yang terpinggir secara holistik, serta memperkenalkan perkhidmatan kemasyarakatan.